Sunday 14 August 2016

Amalan syirik dan khurafat dalam filem telah mempengaruhi para penonton dan masyarakat.

 

DUA 6022
KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM
 
TAJUK E-FOLIO:
AMALAN SYIRIK DAN KHURAFAT DALAM FILEM TELAH MEMPENGARUHI PARA PENONTON DAN MASYARAKAT
 
NAMA PENSYARAH:
PUAN NURAINI BINTI NAWAWI
 
 
NAMA PELAJAR:
RAFIQAH BINTI AB.HAMID  (02DTM14F1073)
SITI NURLIDA BINTI MOHMAD  ( 02DTM14F1072)
NORHAFIZAH BINTI JALIL (02DTM14F1075)
SHAFIQAH NAJWA BINTI ABDUL AZIZ (02DTM14F1106)
 
 
SESI: JUN 2016
 
 
 
ISI KANDUNGAN
 
PENGENALAN..............................................



ISI...................................................................
KESIMPULAN ............................................
RUJUKAN....................................................
LAMPIRAN..................................................
 

PENGENALAN
 
Pengertian khurafat dalam Islam ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran., pantang-larang, adat istiadat, ramalan-ramalan. pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Berdasarkan takrif di atas, khurafat merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat karut dan dusta. Di antara faktor-faktor yang mendorong berlakunya khurafat ialah mudah mempercayai benda-benda tahyul, kecetekan ilmu agama dan terpengaruh dengan kelebihan seseorang atau sesuatu benda. Manakala jalan penyelesiannya ialah setiap umat Islam hendaklah mendalami ilmu agama sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis nabi S.A.W yang bermaksud :" Aku telah tinggalkan kamu 2 perkara selama mana kamu berpegang teguh dengannya, tidak akan sesat selama-lamanya iaitu al-Quran dan sunnahku. Islam adalah antara cabang ilmu Islam yang penting dalam kehidupan setiap umat kerana ia berkaitan keimanan dan kepercayaan kepada Allah. Malah, ilmu akidah, ilmu fardu ain yang wajib dituntut dan dipelajari. Biarpun konsep akidah Islam mudah difahami dan dihayati, masih ramai umat Islam terpengaruh dengan kepercayaan khurafat yang karut-marut yang diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang terdahulu. Pada hal, amalan khurafat adalah bertentangan dengan akidah Islam sekali gus menjejaskan iman seseorang atau menyebabkan syirik kepada Allah, iaitu salah satu dosa yang tidak diampuni Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa juga), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa besar." Surah al-Nisa’, ayat 48) Oleh demikian, setiap Muslim wajib berhati-hati ketika menelusuri pentas kehidupan global supaya tidak mudah terjerumus ke kancah khurafat dengan memperkukuhkan ilmu akidah di samping mengenal pasti ciri amalan khurafat. Khurafat ditakrifkan sebagai cerita mempesonakan yang dicampur-adukkan dengan perkataan dusta. Syeikh Idris al-Marbawi mendefinisikan khurafat sebagai cerita yang karut marut. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula menyimpulkan khurafat, semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang daripada ajaran Islam. Antara ciri amalan dan kepercayaan khurafat, ia tidak bersumberkan nas syarak sama ada daripada al-Quran mahu pun hadis; cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut; didasarkan kepada kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam; berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus untuk tujuan memudaratkan dan menyeleweng daripada akidah Islam; mengguna objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya untuk tujuan tertentu dan ada unsur negatif pada akidah dan syariat Islam. Demikianlah antara ciri amalan dan kepercayaan khurafat jika dihalusi secara mendalam, memang banyak berlaku dalam masyarakat Islam masa kini. Bahkan, ia masih lagi menebal dalam tradisi dan kepercayaan umat Islam dalam kehidupan seharian.
 
  
ISI
 
 
PUNCA DAN AKIBAT DARIPADA PENGHASILAN FILEM YANG BERUNSUR KHURAFAT
Punca:
Akidah seseorang yang rosak seperti pergantungan seseorang terhadap sesuatu yang lain selain daripada Allah.Dalam Islam Allah memerintahkan manusia untuk mentauhidkan Allah semata mata. Ini bermakna tiada yang berhak disembah melainkan Allah s.w.t dalam apajua keadaan.Permohonan kepada sesuatu selain Allah bermakna kita telah menyekutukan Allah yang mengakibatkan kita tergolong dalam fitnah paling besar dan amat ditakuti iaitu mensyirikkan Allah.
Selain itu, pengetahuan luar biasa bomoh dalam hal-hal berkaitan perkara ghaib telah menyebabkan mereka terlalu yakin dengan pengetahuan dan kelebihan yang mereka ada sehingga mengakibatkan masyarakat terperdaya dan meminta pertolongan daripada golongan ini. Sebagai seorang Islam kita wajib meyakini bahawa tiada yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah s.w.t
Rasulullah s.a.w sendiri tidak memiliki kuasa untuk mendatangkan kemanfaatan kepada dirinya serta tidak berkuasa untuk menolak bahaya kecuali yang dikehendaki Allah s.w.t. jadi bagaimana manusia biasa memiliki kelebihan sedemikian walhal Rasulullah yang bersifat maksum tidak dikurniakan Allah dengan kelebihan itu?
Punca lain ialah, wujudnya perasaan terlalu takut terhadap hantu, jin dan syaitan sehinggakan sanggup memberi salam dan tunduk hormat kepada penunggu setiap kali melalui tempat yang dianggap mempunyai keramat. Ada pula yang memberi pengeras malah memandikan kereta dengan air limau dan jampi mantera semata-mata untuk mengelakkan bala bencana.
Sebagai seorang Islam, sewajibnya kita mendapatkan perlindungan dan berserah diri kepada Allah. Syaitan, binatang buas serta manusia tidak dapat mendatangkan manfaat atau  menimpakan mudarat melainkan dengan izin Allah.
 
Akibat:
Terdapat beberapa unsur-unsur yang negatif yang mampu diserap kepada para penonton. Lebih-lebih lagi golongan di peringkat remaja dan kanak-kanak. Mereka ini merupakan golongan yang mudah terpengaruh kerana masih berada dalam proses belajar. Antara kesan negatif filem berunsur hantu dan seram ini adalah boleh merosakkan akidah umat Islam, menimbulkan syirik dan unsur kurafat dalam diri penonton, melemahkan iman seseorang dan memesongkan seseorang dari ajaran Islam.
Perkara ini sangat membimbangkan kerana ramai penonton yang meminati filem berunsur hantu dan seram ini terdiri daripada masyarakat melayu dan beragama Islam. Mereka ini terdiri daripada pelbagai peringkat usia iaitu golongan tua, dewasa, remaja dan kanak-kanak sendiri. Hal ini ditakuti menyempitkan fikiran dan mengancam akidah generasi muda dan kanak-kanak terutamanya. Ditakuti juga mereka ini akan terpengaruh dengan aksi-aksi yang dilakonkan mengenai kononnya wujud pelbagai jenis hantu yang direka semata-mata untuk menimbulkan rasa seram kepada penonton. Perasaan takut mereka itu dibimbangi adalah lebih kepada hantu-hantu rekaan tersebut melebihi kepada Allah s.w.t. Lakonan yang sangat berkesan daripada para pelakon pula telah menambahkan kakuatan terhadap kepercayaan tahyul, khurafat dan syirik.  Kekuatan kepercayaan terhadap hantu ini juga akan melemahkan iman dan memesongkan kepercayaan terhadap Allah s.w.t.
Dalam hal ini, ketaksuban penonton terhadap hantu akan menyebabkan mereka terbawa-bawa ke dalam kehidupan seharian. Misalnya, dibayangi hantu ketika berseorangan atau ditempat gelap, kanak-kanak pula takut untuk ke tandas kerana rasa ada hantu yang mengekori. Perkara ini tidak seharusnya dibiarkan berlarutan dan perlu ditangani segera.Kajian dilakukan berkaitan kesan dan pengaruh filem hantu terhadap penonton; menyenaraikan kesan antaranya tidak nyenyak tidur akibat diburu bayangan filem ngeri, perasaan takut hingga hilang daya kawal terhadap diri dan perasaan fobia melihat benda dikait dengan filem ditonton. Malah fobia terhadap kegelapan, binatang, bunyi atau keadaan yang terlalu sunyi menyebabkan perasaan takut berpanjangan.
Firman Allah Taala dalam Al-Quran,
يا بني آدم لا يفتننكم الشيطانكما أخرج أبويكم من الجنة ينزع عنهما لباسهما ليريهما سوآتهما إنه يراكم هو وقبيله من حيث لا ترونهم إنا جعلنا الشياطين أولياء للذين لا يؤمنون
“Wahai anak Adam! Janganlah engkau diperdaya oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibubapamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian merka berdua untuk memperlihatkan aurat merka kepada mereka (yang sebelum itu tertutup) Sesungguhnya  syaitan dan  kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang yang tidak beriman”
            Di sini dapat disimpulkan bahawa terdapat banyak punca dan akibat yang diperolehi daripada filem yang berunsur khurafat terutama perfileman di Malaysia ini. Semakin hari semakin meningkat permintaan dalam penghasilan filem yang berunsurkan khurafat ini, oleh itu, perkara ini perlulah dipandang berat oleh pihak berkuasa, masyarakat dan setiap individu terutamanya yang beragama Islam. Hal ini demikian kerana perfileman yang berunsur khurafat ini perlu dikawal dan ditapis bagi memastikan keselamatan dan imej umat Islam terjamin.  
 
CARA PENYELESAIAN DAN PENGAWALAN FILEM YANG BERUNSURKAN KHURAFAT
 
            Sepertimana yang kita ketahui terdapat banyak nilai dan impak yang negatif dalam penghasilan filem yang berunsurkan khurafat. Perkara ini terjadi berpunca daripada sikap sesetengah para pengarah filem yang tidak mengambil prihatin akan penghasilan filem yg dikeluarkan. Kebanyakan filem yang dihasilkan ini mempunyai unsur-unsur khurafat yang berlebihan sehingga boleh memberi pengaruh negatif kepada masyarakat di Malaysia. Oleh hal yang demikian, pelbagai tindakan penyelesaian dan pengawalan perlulah diambil bagi memastikan pengaruh negatif ini terus berlarutan dan berleluasa dalam kalangan masyarakat.
            Tindakan utama yang perlu dilakukan ialah tindakan daripada pihak atasan yang memantau dan pengawalan penghasilan perfileman di Malaysia. Pihak utama yang perlu bertindak ialah Suruhanjaya Multimedia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Pihak berkuasa ini haruslah sentiasa memastikan penghasilan filem-filem di Malaysia ini menepati piawaan yang ditetapkan dalam akta yang telah disabitkan. Filem yang dihasilkan juga perlulah ditapis dan diuji selidik terlebih dahulu secara lebih jelas oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). FINAS juga hendaklah mendokumentasi, menyimpan, memelihara dan memulihara bahan kandungan audio visual filem yang dihasilkan secara berkesan. Hal yang demikian kerana bagi memastikan filem yang dihasilkan dan dikeluarkan tidaklah memberi impak yang negatif kepada masyarakat dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.   
            Di samping itu, para penerbit dan pengarah filem juga perlulah sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak berkuasa dalam penghasilan filem. Antara garis panduan yang telah diwujudkan dan perlu dipatuhi ialah “Garis Panduan Penapisan Bahan-Bahan Penerbitan Berunsur Islam” pada tahun 1996 dan “Garis Panduan – Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual Berhubung dengan Unsur-Unsur yang Bercanggah dengan Akidah dan Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah” yang telah diwujudkan pada 21 November 2005, kedua-dua garis panduan ini telah yang diterbitkan oleh JAKIM dalam usaha membenteras kebendungan gejala tahyul dan khurafat dalam media elektronik. Filem yang dihasilkan juga perlulah sesuai mengikut peringkat umur dan peringkat kesihatan masyarakat untuk ditayangkan. Penerbit perlu menekankan larangan kepada para penonton tentang syarat-syarat tontonan filem seperti larangan bagi para ibu yang mengandung dan anak-anak kecil untuk tontonan filem seram. Perkara ini harus ditegaskan kerana setiap tontonan filem itu memberi impak dan kesan yang mendalam terhadap para penonton.
            Selain itu, anggota masyarakaat terutamanya ibu bapa haruslah sentiasa prihatin dan bersikap tegas dalam memantau tontonan anak-anak mereka. Ibu bapa perlulah sentiasa tegas dalam perhatian mereka, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya memberi kelonggaran kepada anak-anak mereka untuk menonton filem-filem seram. Hal demikian kerana apabila anak-anak yang kecil dibiarkan menonton filem seram akan memberi kesan yang mendalam kepada mereka. Mereka mungkin akan berasa takut untuk berada dalam kawasan gelap dan berfikiran yang tidak enak terhadap persekitaran sehingga menyebabkan mereka menerima ganguan emosi. Sebagai ibu bapa juga hendaklah sentiasa memberi perhatian dan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak. Anak-anak ibarat kain putih yang perlu dicorakkan oleh ibu bapanya, jika dicorak dengan baik maka baiklah hasilnya, jika salah coraknya maka buruklah hasilnya. Hal yang demikian kerana apabila anak-anak diberikan didikan agama yang cukup maka mereka tidak akan mudah terpedaya dengan unsur-unsur negatif yang memudaratkan daripada tayangan filem seram yang mereka tontoni.
            Seterusnya, sebagai seorang umat Islam yang mempunyai pegangan agama yang baik hendaklah sentiasa tegas dan tidak memandang remeh dalam penghasilan filem khurafat ini. Mereka perlulah memastikan tayangan filem yang mereka tontoni bebas daripada unsur-unsur khurafat yang boleh mempengaruhi minda. Jika terdapat sebarang unsur-unsur yang berlebihan dalam filem yang ditayangkan, mereka seharunya membuat aduan kepada pihak berkuasa seperti FINAS bagi memastikan kegiatan ini dapat dibanteras dengan segera.
            Natijahnya, semua pihak perlulah saling berganding bahu dan bekerjasama dalam penyelesaian dan pengawalan filem yang berunsurkan khurafat. Pihak-pihak yang berwajib seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia perlulah sentiasa melakukan pemantauan dan mengetatkan peraturan dalam bidang perfileman Negara ini supaya unsur-unsur khurafat ini dapat dibendung dan diatasi dengan sebaiknya. Manakala, masyarakat juga perlulah prihatin dan memandang tegas dalam penghasilan filem yang berunsur khurafat ini. Jika terdapat sebarang unsur-unsur yang berlebihan dalam filem yang ditayangkan, masyarakat perlu membuat aduan kepada pihak berkuasa. Hal ini demikian kerana unsur-unsur khurafat ini boleh memberi impak yang buruk kepada masyarakat sekeliling.
 
 
KESIMPULAN:-
Secara rumusannya, kami telah peroleh pelbagai pengajaran dan pengetahuan yang baik daripada kajian ini. Antara pengajaran yang kami peroleh ialah sebagai umat Islam, kita diwajibkan bertawakal dan hanya bergantung kepada Allah selepas berusaha bersungguh-sungguh dalam sesuatu pekara yang dihajati. Terutama sekali dalam melakukan tugas-tugas harian sebagai khalifah di bumi ini. Sebagai contoh, pengajaran yang kami dapat daripada perwatakan Ustaz Adam dalam filem Munafik. Beliau sentiasa bertawakal kepada Allah sama ada berada dalam keadaan susah mahupun senang.
Di samping itu, kita hendaklah percaya bahawa meminta bantuan kepada makhluk lain selain Allah seperti jin dan syaitan akan memberikan kesan yang memudaratkan dan bukannya memperoleh manfaat dari apa yang diminta. Hal ini kerana tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah malah tindakan ini akan mengakibatkan pemikiran umat islam terbelenggu dalam akidah sesat. Contohnya, melalui perjanjian syaitan dan iblis dalam lakonan Pak Osman, beliau telah menggunakan ilmu hitam untuk memuaskan hatinya terhadap Ustaz Adam. 
Tambahan pula, sebagai seorang anggota masyarakat yang prihatin terhadap persekitaran, kita perlulah sentiasa tegas dalam membanteras dan membendung masalah yang berkaitan pengamalan unsur-unsur khurafat dalam kalangan masyarakat. Segala kegiatan khurafat yang berlebihan dalam industri perfileman perlulah dielakkan dan dihapuskan. Mungkin perkara ini tidaklah memberi impak yang besar dalam keseluruhan masyarakat tetapi jika dibiarkan lama ianya pasti memberi kesan buruk kepada keseluruhannya. Firman Allah dalan surah Yunus ayat 106, “Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim”. Maka dengan itu seharusnya kita lebih berwaspada dalam penghasilan filem yang berunsur khurafat tanpa tapisan dari pihak berkuasa akan tersebar meluas dalam negara.  
 
Akhir sekali, kita haruslah berpegang teguh dengan ajaran agama Islam dan juga sentiasa memahami dan mendalami ilmu Al-Quran dan Sunnah bagi mengelakkan amalan khurafat ini terus berleluasa dalam kalangan masyarakat khusunya masyarakat Islam kita sendiri. Sebagai khalifah di bumi, kita juga sentiasa dituntut untuk sentiasa taat segala perintah dan meninggalkan segala-Nya, apatah lagi jika perbuatan kita itu berunsurkan khurafat.
 
 RUJUKAN
 
 
 
 
 
 
LAMPIRAN

 



 
 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment